Plot I.T. (filem)

Mike Regan merupakan hartawan penerbangan yang tinggal dalam sebuah rumah yang penuh dengan teknologi moden bersama isterinya, Rose, dan anak perempuannya yang berusia 17 tahun, Kaitlyn. Beliau telah mengupah seorang lelaki berusia 28 tahun, Ed Porter, sebagai perunding I.T. syarikatnya dan Mike telah menjemput Ed untuk membantunya membetulkan isyarat Wi-Fi di rumahnya. Porter telah membantu Mike untuk menaiktarafkan sistem GPS keretanya dan memberitahu beliau pernah bekerja dengan NSA serta berkhidmat dalam ketenteraan. Porter telah bertemu dengan Kaitlyn dan memulakan berhubung dengannya menerusi media sosial.

Pada suatu hari, Porter telah dijemput oleh Kaitlyn ke rumah setelah menghantarnya pulang dari sekolah. Mike yang mengetahui perkara tersebut telah bertindak memecat Porter serta-merta. Hal ini telah menyebabkan Porter bertindak mengakses data peribadi Mike dari jauh, termasuk rumanhnya, di mana Porter telah mengawal pergerakan mereka menerusi kamera keselamatan dan semua peralatan di dalam rumah itu. Beliau turut telah merakamkan aksi Kaitlyn di dalam bilik mandi.

Porter telah menghantar emel palsu kepada semua pelanggan Mike dan Suruhanjaya Keselamatan dan Bursa Amerika Syarikat (SEC) yang mengancam kelangsungan syarikat. Beliau turut menghantar keputusan mammogram palsu kepada Rose yang mengatakan Rose positif barah payudara. Hal ini telah menyebabkan Rose bersedih sebelum dimaklumkan oleh doktornya bahawa beliau bebas dari barah payudara. Mike yang telah sedar segala perbuatan Porter telah bertindak menyerang dan mengugutnya agar beliau tidak mengganggu keluarganya lagi. Namun, ugutan Mike tidak berjaya. Porter telah memuatnaikkan video peribadi Kaitlyn di dalam bilik mandi dan menarik perhati rakan sekolahnya. Kaitlyn yang berasa malu telah menyalahkan bapanya atas semua teknologi yang dipasang di dalam rumah tersebut.

Mike menjadi berang dan memandu ke rumah Porter. Namun, Porter terlebih dahulu dapat mengetahui tindakan Mike melalui sistem navigasi kereta yang turut dipantau olehnya.

Mike telah meminta pertolongan dari pakar I.T., Henrik. Henrik telah meminta Mike untuk memusnahkan kesemua teknologi pintar yang terdapat di dalam rumahnya serta menghapuskan semua emel, akaun bank dan fail-fail komputer. Henrik memberitahu Mike bahawa nama sebenar Porter adalah Richard Edward Portman dan bapanya telah membunuh diri ketika beliau berusia enam tahun. Henrik turut memaklumkan bahawa Porter tidak pernah bekerja dengan NSA dan tidak pernah juga terlibat dalam ketenteraan seperti yang diceritakan olehnya dahulu. Henrik telah bertindak mencuri telefon dari seorang pekerja kedai kopi yang juga disukai oleh Porter. Henrik telah menghantar pesanan menggunakan telefon tersebut dan meminta Porter untuk datang ke kedai kopi. Semasa ketiadaan Porter, Mike telah berjaya mencuri pemacu kilat USB yang mengandungi bukti-bukti sebelum disedari oleh Porter.

Porter telah bertindak menghubungi pihak polis dan menyatakan beliau telah diserang sebelum beliau bertindak mencederakan dirinya. Di balai polis, ketika Mike cuba menyerahkan bukti-bukti kepada pihak polis, Mike telah ditahan kerana menceroboh dan mencederakan Porter.

Setelah dibebaskan, Mike pulang ke rumah dan mendapati Rose dan Kaitlyn telah diikat oleh Porter. Pergelutan antara Mike dan Porter telah berlaku sebelum Mike cuba menembak Porter yang telah lemah, sebelum dihalang oleh Rose.